Perang Gadget

PERKATAAN pintar begitu memberi kesan terutamanya untuk peralatan elektrik seperti gajet telefon. Kini, dengan sambungan WiFi, banyak lagi perkakasan elektrik yang mula menyertai liga pintar itu.


Selain televisyen, kamera juga menjadi salah sebuah gajet yang boleh dianggap sebagai pintar dengan memiliki sambungan tersebut. Syarikat berpangkalan di Korea Selatan itu baru-baru ini melancarkan sebuah kamera yang mempunyai sambungan WiFi, Samsung Dual View DV300F.


Kamera pintar itu membolehkan foto-foto yang diambil dikongsi bersama-sama rakan yang terdapat dalam senarai rakan dalam laman sosial.


“Hanya perlu ke fungsi Social Sharing dan pilih laman sosial untuk dikongsi. Masukkan kata laluan dan serta-merta foto tersebut boleh dipaparkan di laman sosial,” kata Ketua Pemasaran Bagi Pengimejan Digital Samsung Elektronics, Julian Thean.


Papar terus ke laman sosial


WiFi merupakan kemudahan yang boleh didapati di mana-mana dan menjadi pemandangan biasa apabila orang ramai pasti menggunakan telefon untuk mengemas kini status.


Gambar-gambar boleh dimuat naik ke laman sosial seperti Facebook, Google Plus, Picasa, Photobucket dan YouTube atau e-mel terus kepada rakan anda menggunakan DV300F.


Semua foto yang diambil boleh disimpan dalam sistem awan, AllShare Play dan Microsoft Sky Drive. E-mel ringkas pula boleh dihantar dengan minimum 32 karakter dan maksimum 150 huruf yang ditaip terus pada kamera.


Salah satu fungsi kamera WiFi itu, Remote Viewfinder yang dapat menyambungkan kamera tersebut dengan telefon pintar yang menggunakan sistem operasi Android atau iPhone.



CANON Ixus juga mempunyai sambungan WiFi untuk kemudahan pengguna.


Melalui fungsi tersebut, foto dapat dirakam dan dikawal dari jauh menggunakan telefon pintar termasuk memfokus, lampu denyar (flash), saiz foto serta Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS).


“Penggunaannya tidak akan menurunkan mutu gambar yang diambil. Foto yang terhasil sama seperti yang dirakam terus daripada kamera,” terang Julian lagi.


Seperti namanya, Dual View DV300F, ia mempunyai dua buah paparan skrin yang berada pada bahagian depan dan belakang.


Sudah menjadi kelaziman, orang ramai akan merakam gambar sendiri. Skrin LCD bahagian hadapan berukuran 1.5 inci itu memudahkan pengguna membetulkan komposisi untuk berada dalam kotak.


Didatangkan dalam beberapa varian warna seperti hitam, perak dan merah. Bahagian luarannya mempunyai permukaan warna metalik yang berkilau.


Menariknya, terdapat animasi comel pada skrin hadapan yang memberi kesan kepada kanak-kanak untuk fokus pada lensa ketika mengambil gambar.


Ixus daripada Canon


Sementara itu, pengeluar kamera dari Jepun, Canon turut memperkenalkan rangkaian kamera kompak terbaharu dengan sambungan WiFi, Ixus iaitu 510 HS, 500 HS, 240 HS dan 125 HS.


Binaan dalam sambungan WiFi juga membolehkan gambar dimuat naik terus ke laman sosial, Facebook, YouTube atau e-mel biarpun pada kualiti imej yang tinggi melalui aplikasi Camera Window.


Kesemua model kamera itu dilengkapi dengan fungsi baharu, Face ID dan Intelligent IS (Penstabil Imej). Intelligent IS membolehkan tahap kecerahan dibetulkan secara automatik. Ia akan memilih penstabil imej yang bersesuaian dengan objek untuk memberikan gambar yang jelas.


Fungsi Face ID pula membolehkan pengguna memasukkan sehingga 12 wajah dengan lima profail yang berbeza bagi setiap gambar.


Selain itu, rangkaian kamera Ixus itu turut memperlihatkan reka bentuk yang ideal dengan mengikut nisbah emas, 1:1.618 sama seperti karya-karya seni agung dunia seperti The Parthenon, Arc de Triomphe dan Venus de Milo.

Bantu Kami Hanya Perlu Tekan Link Ini!

0 comments:

Post a Comment