Seni Tatoo Di Jepun!


BAGI pelukis tatu, Horiyoshi III, bahagian kulit tubuh manusia yang dicacahnya merupakan kanvas bagi menonjolkan misteri dan legenda Jepun, biarpun seni itu sering dikaitkan dengan kegiatan jenayah kongsi gelap.
Berimejkan gunung-ganang dan ombak serta makhluk-makhluk mitos mengagumkan, corak-corak tatu daripada seni popular abad ke-18 itu jauh berbeza berbanding trend yang sering dilihat di Barat. Begitupun, ia tetap mengundang persepsi negatif dalam kalangan ibu bapa dan guru-guru.
Seni tatu di Jepun mempunyai reputasi yang lebih buruk. Ia sering dikaitkan dengan keganasan jenayah kumpulan kongsi gelap Yakuza. Tanggapan itu disifatkan sesuatu yang tidak adil bagi penggemar-penggemar tatu.
Horiyoshi yang menggabungkan variasi peralatan moden dan tradisional ketika mencacah tatu berkata, dia amat mengagumi Hokusai, pelukis tatu yang terkenal dengan rekaan corak ombak tsunami dan Gunung Fuji.
"Saya juga turut dipengaruhi artis-artis lain di Jepun. Sudah pasti, saya tidak dapat menghasilkan karya-karya yang sama seperti mereka.
Saya perlu menyesuaikannya dalam karya yang saya lakukan," katanya semasa pameran hasil kerjanya di Utagawa Kuniyoshi, Tokyo yang banyak mengetengahkan corak landskap, haiwan mistik dan gambaran perjuangan pahlawan samurai.

Kisah Mitologi
Bekas jurulatih kecergasan, Asada Yoshi, 52, memilih untuk menghiasi tubuhnya dengan corak tatu yang menceritakan semula mengenai mitologi Jepun.
"Di sebelah kaki kanan, anda boleh lihat ikan kap sedang melompat dan di kaki kiri pula terdapat sejenis makhluk, iaitu separuh naga dan separuh ikan kap. Di belakang badan pula saya memilih corak naga yang besar," kata Horiyoshi, yang menggunakan nama tunggal seperti ramai pelakon kabuki lain.
"Ia adalah legenda purba mengenai ikan kap yang bertukar menjadi naga selepas berenang mengharungi air terjun."
Perantis Horiyoshi, seorang rakyat Jerman, Alexander Reinke yang berharap untuk menjadi Horiyoshi IV suatu hari nanti berkata, dia tertarik dengan seni tatu Jepun kerana keunikannya.
Lelaki itu berkata, tidak seperti corak atau rekaan popular Barat, seni tatu di Jepun mempunyai naratif tersendiri dan bukan diadaptasi daripada mana-mana budaya.
Katanya, corak yang berinspirasikan watak-watak dalam kebudayaan Cina dan Sanskrit yang sering mengiasi tubuh penggemar-penggemar tatu di London dan New York tidak boleh ditemui di Jepun.
"Perbezaan paling ketara adalah corak tatu di Barat direka untuk menonjolkan pelukisnya secara individu," katanya.
"Mereka mahu menyatakan atau mengingati sesuatu yang mereka paling sukai.
"Bagaimanapun di Jepun terdapat kumpulan pelukis tatu yang tidak menonjolkan diri mereka secara individu kerana ia dianggap tidak begitu penting di negara ini berbanding secara berkumpulan," tambah Reinke.
Mentaliti itu sering diterjemahkan melalui kelab-kelab tatu yang menjadi tempat pertemuan dan ahli-ahli menonjolkan karya seni. Di situ, mereka hanyalah manusia biasa yang bekerja kerana keghairahan terhadap seni lukisan tubuh itu, katanya.

Tattoo

"Lazimnya, kumpulan yang pernah ditatu dalam kalangan pakar tatu ini menubuhkan kelab-kelab kecil. Seperti hari ini, kesemua mereka yang berkumpul di sini pernah mendapatkan khidmat Horiyoshi dan mereka hadir sekadar untuk bersantai," ujar Reinke.
Yoshi bagaimanapun menjelaskan, adalah mustahil untuk dia mempunyai tatu sekiranya terus bekerja sebagai jurulatih kecergasan seperti sebelum ini.
"Sukar untuk mempunyai tatu di Jepun. Sebahagian besar masyarakat mempunyai prejudis. Namun, sifat ingin tahu dan keghairahan saya terhadap seni ini melebihi prejudis yang ada," katanya yakin.
Pengharaman
Mereka yang mempunyai tatu diharamkan untuk memasuki beberapa lokasi di Jepun, daripada kolam air panas sehingga kelab kecergasan.
Datuk Bandar Osaka sebelum ini juga pernah mengarahkan golongan pekerja di bandar raya itu mengisi borang soal selidik untuk mengesan sama ada mereka pernah mempunyai tatu atau tidak.
Diskriminasi itu disebabkan kewujudan beberapa kumpulan seperti Yakuza, yang dalam kalangan ahli-ahlinya mempunyai corak tatu tertentu bagi membezakan mereka daripada kumpulan jenayah lain, seperti Yamaguchi-gumi.
Rangkaian kumpulan jenayah terancang di negara itu dianggotai kira-kira 50,000 ahli. Mereka terkenal dengan penglibatan dalam aktiviti perjudian, penyalahgunaan dadah, pelacuran sehingga jenayah kolar putih dan peminjam wang.
"Ia hanyalah sebuah seni lukisan tubuh. Namun, orang memikirkan yang bukan-bukan dengan mengaitkannya dengan sesuatu yang jahat," kata Horiyoshi.
"Imej-imej ini masih terpahat dalam minda masyarakat, tatu mempunyai kaitan dengan jenayah dan jenayah pula adalah Yakuza. Masyarakat kini takut dengan tatu apatah lagi untuk mencubanya."





Bantu Kami Hanya Perlu Tekan Link Ini!

0 comments:

Post a Comment